Bersama kita menadah tangan bermunajat ke hadrat Ilahi agar ummat Islam khususnya di Syria diberi kemenangan oleh Allah S.W.T. dalam berhadapan dengan regim pemerintah yang zalim.
PAS menangguhkan muktamar pada Jun ini dan diganti dengan perhimpunan raksasa, Himpunan Hijau Ke Putrajaya pada 1 Jun di Alor Setar, Kedah yang akan memberi fokus sepenuhnya kepada pilihan raya umum ke-13.
Jentera parti diingatkan agar sentiasa menghayati rukun bai'ah kerana PAS bukan sekadar parti politik tetapi ia adalah sebuah gerakan Islam.
Negara Berkebajikan yang dibawa oleh PAS dipandu oleh Al Quran dan Sunnah serta ada tauladannya dalam sejarah pemerintahan para nabi seperti Nabi Sulaiman, Nabi Yusuf dan Nabi Muhammad serta khulafa' arrasyidin dan lain-lain. Ia juga melibatkan kebajikan fizikal dan kebajikan spiritual rakyat.
"Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama : masa sihat sebelum sakit. Kedua : masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga : masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (HR al-Hakim dan al-Baihaqi).
Tibalah masanya, para pejuang Melayu menyedari dan memahami bahawa slogan yang benar bukannya, pertahankan Melayu dahulu, Islam di belakangnya. Percayalah bahawa Melayu tidak selamat dengan diri mereka sendiri tanpa petunjuk Islam, sebagaimana Arab bangsa Rasulullah s.a.w porak-peranda sekarang, kerana kebangsaan Arabnya mengatasi Islamnya, tetapi yang sebenarnya ialah tegakkan Islam dan selamatkan bangsa dengan Islam, tunjukkan Islam yang sempurna, maka Melayu selamat dan semua kaum, bangsa dan penganut berbagai agama diselamatkan. - Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang

Selasa, 29 Mei 2012

Mengapa Perlunya Himpunan Bersih? (video)


Pengerusi Bersama Bersih 2.0 mengumumkan himpunan Bersih 3.0 pada sidang media sebagai reaksi kepada keputusan Jawatankuasa Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihanraya (PSC) yang hanya meluluskan satu sahaja daripada 8 tuntutan yang dikemukakan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih). Iaitu penggunaan dakwat kekal. Lapan tuntutan Bersih ialah:

1. Bersihkan senarai undi
2. Mereformasikan undi pos
3. Penggunaan dakwat kekal
4. Masa kempen minima 21 hari
5. Akses media yang bebas dan adil
6. Kukuhkan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor


Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS menjelaskan bahawa penyelewengan dan ketidakadilan dalam sistem pilihanraya menjadi sebab kenapa himpunan Bersih diadakan.


Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan at-Tantawi menjelaskan mengapa perlunya Himpunan Bersih dan kenapa PAS menyertai Bersih.

Pemimpin UMNO Turut Menyokong Bersih (video)



Mantan Menteri kabinet Kerajaan Persekutuan yang juga Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengingatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak agar melaksanakan sistem pilihan raya yang telus.



Ahli Parlimen BN Gua Musang merangkap Pengerusi Angkatan Amanah Merdeka, (Amanah) Tengku Razaleigh Hamzah turut menyatakan sokongan kepada tuntutan Bersih. "Kita mahu peranan media lebih adil dan bebas. Begitu juga dengan penggunaan jentera dan kakitangan kerajaan ketika pilihan raya tidak boleh disalahgunakan. Kita mahu pilihan raya benar-benar adil dan bebas." jelas beliau.


Meskipun mengakui masih bersama-sama Umno, namun anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tamrin Ghafar berkata beliau sudah tidak sanggup melihat sistem pilihan raya diperkotak-katikkan Umno BN semata-mata untuk mengekalkan kuasa dengan memberikan kerakyatan mudah kepada warga asing bagi menyokong BN.

Mengapa PAS Bersama Bersih 1, 2 dan 3

Memilih pemimpin negara adalah amanah besar dalam Islam, yang disebut Ulil Amri. Al-Quran mengesahkan semua rasul menentang sekeras-kerasnya ajaran yang memartabatkan pemimpin kerajaan sehingga dianggap Maha Suci daripada segala kesalahan. Di zaman keemasan umat Islam menjadi kuasa besar dunia, setiap Uli al-Amri yang dinamakan Khalifah diharamkan bersikap Maha Suci seperti Tuhan Yang Maha Esa (Allah S.W.T)

Rasulullah S.A.W bersabda : "Ketaatan terhadap pemimpin hanya dalam perkara yang baik". Ucapan ini adalah menafsirkan perintah Allah yang dihayati di masa baginda sendiri menjadi ketua negara dan wajib diikuti oleh umatnya.

Ucapan Abu Bakar R.A apabila dipilih menjadi ketua negara selepas wafatnya Rasulullah S.A.W : “Wahai tuan-tuan ! saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya dalam keadaan yang baik tolonglah saya, sekiranya saya dalam keadaan yang buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat ......”. Beginilah juga ucapan setiap pemimpin yang dilantik selepasnya.

Amalan sistem pemerintahan Islam yang dibukukan dan dicatit oleh para ulama Islam daripada semua mazhab menjadi kajian para orentalis. Kitab-kitab seperti Muqaddimah Ibn Khaldun, Ahkam Sultaniyyah, Adab al-Wazir dan lain-lain diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa Eropah mempengaruhi perkembangan Demokrasi Moden yang diamalkan oleh negara Barat. Walaupun mereka menerima dengan fahaman sekularisme yang dianut, memisahkan politik daripada agama, namun pengaruh inilah yang mewujudkan sistem pilihanraya yang adil dengan memberi hak kepada rakyat menjadi hakim terhadap kerajaan dan para pemimpin kerajaan yang boleh dijatuhkan sekiranya berlaku kesilapan atau kelemahan dalam mentadbir negara, rakyat pula diberi hak dalam urusan pemerintahan secara beradab. Sistem yang adil ini menggantikan revolusi rakyat secara berdarah yang banyak berlaku seperti di England, Perancis dan lain-lain. Akhirnya terciptalah demokrasi moden dengan mewujudkan pilihanraya yang adil.

Bagi mewujudkan penghakiman yang adil oleh rakyat melalui pilihan raya, maka rakyat diberi kefahaman yang benar berkenaan pilihanraya. Mereka benar-benar memahami hak mereka dengan larangan tegas secara undang-undang terhadap ugutan, sogokan rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Pihak media diletakkan sebagai saksi yang melaporkan semua pihak kepada rakyat yang menjadi hakim, samada pihak kerajaan yang dituduh atau pihak pembangkang yang menuduh. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya adalah badan yang bebas bagi mengendalikan urusan pilihanraya mengikut sistem pemisahan kuasa di antara badan kehakiman, perundangan dan pentadbiran yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W ketika menegakkan negara contoh di Madinah.

Sistem ini diterima oleh semua parti Islam di seluruh dunia termasuk PAS, yang ditubuhkan daripada gerakan tajdid dan islah kerana demokrasi moden menjadi medan politik paling sesuai dengan Islam yang mengutamakan secara damai. Keseluruhan negara Barat dan termasuk negara komunis sekarang telah berubah, menerima sistem demokrasi pilihanraya yang adil, sehingga tidak ada parti dan pemimpin kerajaan boleh mendabik dada bahawa mereka Maha Suci daripada segala sifat kekurangan dan tidak ada kesilapan langsung.

Sistem demokrasi moden ini menjadikan parti kerajaan dan pemimpinnya sentiasa berwaspada dan sedia ditolak dan dihukum oleh rakyat, maka berlakulah perlumbaan yang sihat bagi melakukan yang baik dan menolak yang munkar, menjadikan riadah yang menjadikan hak rakyat dan kerajaan sentiasa sihat, kerana silih berganti apabila berlaku setiap kelemahan dan para pemimpin sangat berhati-hati menunaikan amanah.

Di Amerika pernah dibatalkan kemenangan seorang presiden dalam peristiwa yang terkenal dengan nama skandal Water Gate. Di England pula menjatuhkan kerajaan kerana skandal salah seorang menteri kabinetnya dengan pelacur yang berkait dengan perisikan negara asing. Di India membatalkan kemenangan seorang perdana menteri kerana menyalahgunakan jentera kerajaan dan banyak lagi. Di zaman kini banyak negara yang dibelenggu dengah sistem dictatorship terpaksa berubah kepada sistem demokrasi pilihanraya yang adil.

Negara kita Malaysia yang tercinta ini mengalami sistem demokrasi menuju ke arah yang lebih buruk dan memalukan. Surahanjaya Pilihanraya yang tidak bermaya untuk melakukan reformasi demokrasi yang sebenar kerana tidak diberi kuasa yang sebenar mengikut takrif demokrasi dan tidak berlaku pemisahan kuasa yang sebenar. Kedudukannya berada di bawah siapa parti yang memerintah mengikut arahan secara nyata dan sulit bagi mengekalkan sistem satu parti seperti negara komunis, secara agenda yang diatur begitu rupa. Media arus perdana sebelah pihak yang menutup minda rakyat mengetahui segala kelemahan kerajaan, seolah-olah menjadikan kerajaan itu Maha Suci sepanjang hayat seolah-olah tidak ada ajal dan tidak ada hari kiamat. Daftar pengundi yang tidak masuk akal, seperti jumlah isi rumah laksana sebuah kampung dan penduduk kampung yang ramai laksana satu daerah kerana terlalu gelojoh mangambil pengundi bagi menjamin kemenangan parti yang sedang memerintah walaupun sudah banyak senarai penyelewengan sehingga dilupai yang telah berlaku sebelumnya tanpa tindakan yag adil. Politik wang yang membarah ke dalam parti kerajaan dan masuk pula ke dalam rakyat, ke lapangan pilihanraya umum.

Semua yang berlaku adalah kemunkaran yang mencalarkan imej Islam yang menjadi agama negara mengikut perlembagaan dan banyak kemunkaran yang wajib dicegah dan kezaliman yang wajib disanggah.

PAS wajib menyampaikan risalah Islam kepada seluruh manusia dengan memberi kefahaman yang betul kepada penganut Islam dan memperkenalkan Islam kepada bukan Islam, bagi mengajak kepada makruf dan mencegah kemunkaran kerana Rasulullah S.A.W mewajibkan kepada setiap orang Islam menyampaikan mesej sebenar, menyatakan yang benar dan mencegah kemunkaran mengikut kemampuan masing-masing dengan tangan, lidah dan perasaan benci dalam hati. Demonstrasi aman yang menjadi salah satu daripada amalan demokrasi moden adalah salah satu cara menunjukkan kebencian dalam hati.

Rasulullah S.A.W mengizinkan para sahabatnya keluar beramai-ramai daripada persembunyian mereka di Makkah selepas Islamnya Hamzah dan Umar R.A bagi menunjukkan sikap mereka terhadap pamimpin Makkah yang zalim secara terbuka dan aman tanpa senjata.

Ketika berada di Madinah dan telah wujud negara yang berkuasa, tiba-tiba Rasulullah S.A.W bersabda kepada para sahabatnya, menyebut peristiwa lama berlaku sebelum dilantik manjadi Rasul: ”Aku pernah dibawa oleh bapa-bapa saudaraku ke rumah Abdullah bin Judaan bagi mengadakan Halaf Fudul (persefahaman dan kerjasama) bagi membela mereka yang dizalimi dan menentang mereka yang zalim secara bersama. Sekiranya perkara ini dibawa kepadaku sekarang nescaya aku menyertainya “.

Rasulullah menerima secara positif segala sifat yang baik secara fitrah yang ada dalam diri manusia termasuk bukan Islam, sehingga menghargai keluarga Hatim al-Toei seorang pemimpin kabilah yang suka menolong dan meraikan tamu di zaman jahiliyyah dan banyak lagi contoh yang lain.

Bersih adalah gabungan kerjasama NGO berbagai agama dan parti-parti politik pelbagai ideologi yang menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah pilihanraya yang mengotorkan amalan Demokrasi di Malaysia, ramai kalangan mereka tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya, tetapi sifat fitrah manusia yang bencikan zalim, tipu dan lain-lain.

PAS berpendapat bahawa BN telah banyak menyeleweng daripada konsep demokrasi yang adil. UMNO sendiri telah lama merosakkan imej Islam. Ajaran Islam meletakkan politik adalah amanah besar yang diamalkan para Rasul seluruhnya, tiba-tiba dikotori dengan banyak perkara yang memalukan, seperti menyalahgunakan kuasa secara penipuan dan zalim bukannya bertahan dengan akhlak yang mulia. Amanah politik dijadikan peluang mengumpul harta dan menaikkan pangkat, bukannya amanah yang wajib ditunaikan. Harta dan kuasa dijadikan senjata mengugut rakyat, laksana dajjal yang zahir di akhir zaman, menawarkan kesenangan untuk pengikutnya sahaja, sesiapa yang tidak mengikutnya menerima padah.

Akhirnya PAS wajib mencegah kemungkaran besar yang sedang berlaku ini, hujah lebih kuat lagi apabila membaca amanat Rasulullah S.A.W: “Sama ada kamu menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran atau berdiam diri, nescaya orang-orang yang jahat memerintah kamu, lalu orang-orang yang baik berdoa, tiba-tiba doanya tidak diperkenankan oleh Allah“. Sabdanya lagi: ”Menyatakan yang benar kepada kerajaan yang zalim adalah jihad paling afdal “.

PAS tidak membenarkan para ulamanya menjadi syaitan bisu yang berdiam diri terhadap kebenaran di hadapan mata yang wajib ditegakkan dan kemunkaran nyata yang wajib ditegah, PAS tidak mengizinkan para ulamanya menjadi burung kakak tua yang bercakap hanya mengikut apa yang diajar oleh tuannya sahaja dan tidak mampu menilai sendiri.

Adapun alasan berlakunya kekacauan selepas itu, adalah disebabkan salah laku kerajaan terhadap perhimpunan aman, seperti melarang berhimpun di padang dataran merdeka yang menjadi tempat berhimpun dan provokasi pihak yang diadakan sendiri atau diizin oleh kerajaan sendiri. Sikap tidak adil melantik kumpulan penyiasat yang ditunjukkan oleh satu pihak kerajaan sahaja adalah cara yang tidak bermoral untuk menegakkan keadilan yang sebenar. Lebih tidak adil lagi apabila adanya tangkapan selepas bersurai dan menyeksa mereka yang ditangkap, dimaki hamun dan sebagainya. Ini bukan cara yang bijak untuk mempertahankan kerajaan, bahkan cara menggali lubang sendiri untuk jatuh dengan cara memalukan. Bukan sahaja menjadi sunnah alam dan nas al-Quran dan hadith, serta doa mereka yang dizalimi pasti diperkenan Allah walaupun daripada seorang yang bukan Islam.

Akhirnya, kalau bangsa Melayu masih bersama UMNO yang tidak menegakkan Islam yang sebenar, berlakulah amaran Allah:

وَŲ„ِنْ ŲŖَŲŖَوَŁ„َّوْŲ§ يَŲ³ْŲŖَŲØْŲÆِŁ„ْ Ł‚َوْŁ…ًŲ§ ŲŗَيْŲ±َكُŁ…ْ Ų«ُŁ…َّ Ł„َŲ§ يَكُŁˆŁ†ُوا Ų£َŁ…ْŲ«َŲ§Ł„َكُŁ…ْ ( 38

Maksudnya: Sekiranya kamu berpaling (tidak mahu menegakkan agama kamu) nescaya Allah menukarkan kaum lain, kemudian mereka tidaklah seperti kamu. (Surah Muhammad: 38)



Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Pimpinan PAS Pusat Gempur Putrajaya



PUTRAJAYA, 28 Mei - Putrajaya telah digempur dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan bersama PAS Kawasan Putrajaya sempena Lawatan PAS Pusat ke Wilayah Persekutuan semalam.

Pimpinan PAS Pusat yang hadir sempena program ini ialah Ust. Nik Zawawi, Setiausaha Majlis Syura PAS Pusat dan YB Dr. Hatta Ramli selaku Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Pusat. Pimpinan tertinggi PAS Putrajaya pula ialah Ust. Mohd Nazir Zakaria, YDP PAS Putrajaya, dan Sdr. Kamaruzaman Mohamad, Timbalan YDP PAS Putrajaya merangkap Ketua Pemuda PAS WP. Selain petugas PAS Putrajaya, program ini dibantu oleh petugas-petugas dari Bandar Tun Razak, Cheras dan Segambut.

Program dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah di Surau Al-Mizan, Presint 8 dan diikuti dengan tazkirah Maghrib yang disampaikan oleh Ust. Nik Zawawi. Selepas solat Isya' yang diimamkan sendiri oleh Ust. Nik Zawawi, rombongan peserta telah beramai-ramai ke Medan Selera Presint 9 untuk acara seterusnya. Sementara itu, di masa yang sama YB Dr. Hatta yang diiringi oleh YDP PAS Putrajaya dan beberapa petugas mengedarkan Harakah percuma di Mydin Putrajaya dan sekitar jalan Diplomatik Presint 15. Sebuah lagi kumpulan mengedarkan Harakah di surau Presint 11.

Acara santai di Medan Selera Presint 9 bermula jam 9.30 malam. Acara dimulakan dengan ceramah santai yang dikendalikan oleh Sdr. Kamaruzaman Mohamad. Ucapan dimulakan oleh YB Dr. Hatta Ramli. Beliau telah menyeru kepada semua penduduk Putrajaya supaya memberikan peluang kepada PAS untuk menang di Putrajaya dan seterusnya mentadbir Malaysia. Di dalam ucapannya, beliau turut mengucapkan takziah kepada peserta yang kemalangan dalam acara perlumbaan sempena Karnival Hari Belia di Putrajaya. Ucapan seterusnya disampaikan oleh Ust. Nik Zawawi. Beliau telah mengingatkan para hadirin bahawa hanya Islam sahaja yang mampu menyelamatkan negara Malaysia yang kian parah ini. Program diakhiri dengan para pimpinan mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan para hadirin yang menjamu selera di medan selera tersebut. Sepanjang program santai ini, Harakah terus diedarkan bersama risalah pencapaian negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Secara keseluruhannya program ini mendapat sambutan yang baik dikalangan penduduk Putrajaya yang ternanti-nanti akan kehadiran PAS. Ini membuktikan yang PAS sudah bertapak di hati mereka. Menurut Ust. Mohd Nazir Zakaria, YDP PAS Putrajaya, sokongan terhadap PAS di Putrajaya pada hari ini telah meningkat hampir 5 kali ganda berbanding tahun 2011. Perkembangan ini sangat baik yang memberi satu gambaran yang jelas tentang keupayaan PAS dan Pakatan Rakyat untuk mara ke Putrajaya.

Khamis, 24 Mei 2012

Kembalikan Isu Sebenar Bersih Yang Dipesongkan

Umum sedia maklum kepentingan dan fungsi media massa dalam pilihan raya, apatah lagi bagi aktivis politik. PAS selepas beralih di bawah era kepimpinan ulamak, dan buat kali pertama menghadapi pilihan raya umum, tahun 1986, mendapat pengajaran cukup bermakna apabila difitnah dan ditohmah media dengan dahsyat sekali.

Dalam pilihan raya itu, PAS hanya memperolehi satu kerusi Parlimen di Pengkalan Chepa, Kelantan. Di muktamar tahunan parti, di Rusila, pada 1987, suasana waktu itu mendorong PAS melancarkan boikot terhadap akhbar-akhbar harian yang dikuasai Umno. Lidah rasmi, Harakah, yang baru mendapat permit turut digerakkan .

Ya, peranan media dalam pilihan raya cukup besar, terutama bagi membolehkan pengundi membuat keputusan yang baik. Media bukan sahaja menyalurkan maklumat dan berita, tetapi juga berupaya membentuk pandangan, tanggapan dan persepsi, seterusnya mendorong audien merumuskan tindakan.

Sewaktu kempen pilihan raya, yang sering diadakan dalam tempoh singkat (selepas Parlimen dibubarkan secara tiba-tiba), pengundi perlu mendapat informasi secukupnya -- secara mudah dan murah -- agar dapat membuat penilaian atau penghakiman yang menyeluruh, tentang calon-calon atau parti-parti yang bertanding.

Rakyat juga berhak tahu tentang kelemahan dan kepincangan (juga kelebihan) parti pemerintah, selain mendapat makluman secukupnya mengenai cabaran parti-parti saingannya. Oleh itu, media tidak boleh dihalang daripada melaporkan perkembangan dan situasi sebenarnya menjelang hari mengundi kepada publik.

Teorinya, Malaysia tergolong sebagai sebuah negara yang tidak mengamalkan kebebasan akhbar, yang ditandai dengan peraturan ketat mengenai permit dan dasar pemilikan media. Meskipun Perlembagaan memberi jaminan kebebasan bersuara, Parlimen dengan mudah sekali menggubal dan meminda akta-akta yang mengikat dan mengongkong.

"Benar, media di Malaysia dikawal ketat pemerintah, tapi saya amat mengharapkan semasa kempen pilihan raya, sebelum pengundi membuat keputusan memilih mana-mana calon atau parti, berilah sedikit kelonggaran, rakyat berhak mendapat maklumat sebenar," kata seorang pensyarah undang-undang UIAM, yang berminat dengan perjalanan akhbar di negara ini.

"Tetapi, keadaan sebaliknya berlaku. Bubar saja Parlimen, hampir semua bilik berita akhbar dan stesen TV kita bertukar menjadi bilik gerakan kempen BN. Untuk BN segala paparan positif belaka, tetapi aktiviti atau manifesto parti-parti lain diberikan gambaran negatif," tambahnya.


Apabila negara serantau, dikenali mengamalkan pendekatan keras terhadap pembangkang, seperti Singapura dan Myanmar, turut melonggarkan kongkongan ke atas media sewaktu kempen pilihan raya, termasuk stesen TV kerajaan, amat memalukan sekali, melihatkan Malaysia jelas tertinggal di belakang.

Justeru, Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) mengambil inisiatif menganjurkan Konvensyen Akses Media Dalam PRU13, 12 Mei lalu, bagi menangani dua tuntutan utama Bersih mereformasikan sistem dan proses pilihan raya kita, termasuk tempoh kempen minimum 21 hari.

Demonstrasi Bersih 3.0 -- dihadiri lebih suku juta orang dan 70 peratus darinya adalah anak-anak muda -- sepatutnya meletakkan tuntutan pilihan raya bersih dan adil itu sebagai agenda utama negara. Bagaimanapun, insiden keganasan memesongkan perhatian kepada isu sampingan.

Di kalangan Bersih dan Pakatan Rakyat sendiri, fokus lebih tertumpu kepada senarai daftar pemilih yang meragukan itu. Ia terhasil melalui komplot jahat BN-JPN-SPR, yang mahu mengambil jalan pintas, khususnya untuk merebut kembali Selangor. Bayangkan, ada pengundi, misalnya, didaftarkan alamatnya di tingkat enam sebuah flat di Sri Andalas, Klang, yang hanya mempunyai ketinggian empat tingkat!

Tentulah isu berkenaan cukup urgent dan kritikal, namun tuntutan seperti akses media dan tempoh minimum kempen seperti terabai. Lalu, KAMI cuba mengembalikan isu yang lebih real, memastikan agar PRU13 dapat berjalan dalam suasana lebih demokratik, telus dan terbuka.

Beberapa NGO yang prihatin dengan perkembangan ini, turut melahirkan kebimbangan serupa. "Media seharusnya membantu Bersih 3.0 memastikan lapan tuntutan dilaksana, bukan mengalihkan isu. Jika ada keganasan polis atau ada peserta bertindak ganas, itu jelas perlu dilakukan siasatan bebas tapi isu yang kita nak bawa iaitu lapan tuntutan, tidak boleh hilang," kata AJK Ikram, Nahar Md Noor.

"Bersih hanya mahukan tuntutan pilihan raya adil dan bersih. Ia melangkaui parti, agama dan kaum," kata Pengarah Eksekutif Komas, Tan Jo Hann. "Tujuh tahun saya jadi jurugambar di Filipina, tidak pernah saya lihat polis menyerang media, sedangkan saya juga pernah bertugas dan berdepan dengan demonstrasi yang melibatkan kematian. Polis atau tentera jika lihat pas media, mereka akan lindungi kami."

Sebenarnya banyak pihak melihat desakan agar media berlaku adil kepada pembangkang, terutama semasa kempen pilihan raya, sebagai tindakan sia-sia dan membazir tenaga saja. Paling lantang, Hishamuddin Rais, yang berforum sesi petang bersama Nurul Izzah Anwar, di konvensyen KAMI itu.

Beliau tidak percaya kepada kebebasan media. "Saya percaya kepada hak kepada media. Ertinya kalau Umno ada hak untuk ada televisyen saya juga ada hak untuk ada televisyen sendiri, kalau Umno ada radio saya juga ada hak untuk ada radio sendiri," tegasnya.

Saya bersetuju sepenuhnya dengan pandangan Hisham. Setiap pihak yang berminat untuk menerbitkan apa jua bentuk media -- majalah, akhbar, radio dan TV -- hanya perlu mendaftarkannya kepada pihak berkuasa, dengan garis panduan yang jelas. Yang penting, konsep permit mesti dihapuskan.

Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Wong Chun Wai turut mempersoal keperluan permit penerbitan bahan bercetak di zaman internet ini. Sebenarnya kalaupun permit tidak diperlukan lagi, tidak mudah bagi penerbit untuk mengusahakan akhbar kerana ia memerlukan modal yang cukup besar.

Tidak betul andaian bahawa sebaik sahaja permit tidak diperlakukan lagi maka berlambakanlah pasaran dengan akhbar. Tetapi, kalaupun benar situasi itu berlaku, apa salah, 'kan?

Selain itu, media bebas tentu saja sukar mendapat iklan, terutama daripada syarikat berkaitan kerajaan (atau lebih tepat syarikat berkaitan Umno!) sedangkan tanpa sokongan pengiklan hampir mustahil akhbar harian dapat beroperasi dengan lancar.

Nurul Izzah sendiri menyifatkan pindaan terbaru Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), yang tidak lagi memerlukan pembaharuan permit setiap tahun, hanya kosmetik sahaja.

"Isu besar bukan tentang permit sedia ada, tetapi bagaimana untuk mendapatkan permit baru," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu, sambil menceritakan pengalaman sukarnya berdepan dengan pegawai KDN, ketika memohon akhbar Utusan Rakyat.

Namun begitu, saya tetap percaya bahawa lobi dan desakan agar media yang dibiayai dana awam, seperti RTM dan Bernama, berlaku adil kepada semua calon dan parti bertanding, mesti digiatkan, tanpa melupakan lidah rasmi parti (Harakah, Suara Keadilan dan Roket) yang perlu penambahbaikan segera.

Tekanan harus digerakkan secara lebih intensif kepada dua agensi kerajaan itu, dan saya kira wajar juga jika wakil Pakatan Rakyat dapat mengadakan kunjungan kepada syarikat media, termasuk Kumpulan Media Prima, The Star, Astro Awani dan akhbar-akhbar Cina (walaupun menyedari ramai mencebik mendengar nama Utusan Malaysia dan TV3). Sekurang-kurangnya "hak untuk menjawab" diberikan perhatian serius oleh media berkenaan.

Melalui buku Prof Dr Syed Arabi Idid, seorang sarjana komunikasi yang banyak mengkaji peranan media dalam pilihan raya di Malaysia, dibentang analisis berkaitan hala tuju liputan berita semasa pilihan raya 2008.

Menurut penyelidikannya, akhbar bahasa Melayu memberikan liputan positif kepada BN sebanyak 74 peratus, manakala positif pembangkang hanya 5 peratus, liputan berkecuali 17 peratus. Akhbar Cina lebih seimbang, apabila positif BN 28 peratus dan positif pembangkang 12 peratus, manakala liputan berkecuali 45 peratus. Satu situasi yang langsung tidak melambangkan "padang permainan sama rata".

Berita pembangkang (sebenarnya semasa kempen tidak patut timbul istilah parti pembangkang ataupun kerajaan) bukan saja digelapkan, malah lebih buruk dimanipulasikan. Ada kalanya kenyataan pemimpinnya "dikerat-kerat dan kemudiannya dicantumkan" untuk memberi gambaran buruk dan mengelirukan pengundi.

Tidak sekadar itu, hatta untuk membeli iklan menyiarkan manifesto parti pembangkang di media cetak pun dihalang.

Menurut Transparency International Malaysia, dalam tempoh kempen dari 25 Februari hinga 7 Mac 2008, semua akhbar harian berbahasa Melayu (dan Tamil) tidak membenarkan parti DAP dan KeADILan (kajian tidak melibatkan PAS) membeli iklan, termasuk siaran manifesto, sedangkan BN membelanjakan lebih RM2.2 juta untuk tujuan itu.

Untuk harian bahasa Inggeris, BN berbelanja sebanyak RM2 juta, manakala DAP hanya sekitar RM10,000 (melalui The Sun), dan tiada ruang iklan untuk KeADILan. Akhbar Cina memberi ruang bernilai RM3 juta kepada iklan BN, RM100,000 untuk DAP dan RM28,000 buat KeADILan.

Saripada sudut ini, DAP yang mendapat laporan lebih seimbang dalam akhbar Cina mungkin lebih beruntung daripada PAS dan KeADILan yang sentiasa disorot secara negatif oleh akhbar-akhbar harian Melayu.


Oleh: Ahmad Lutfi Othman
Sumber: Harakahdaily

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Sertai PAS

TAIPING: Sebagaimana yang dijangka, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari dengan rasminya menyertai PAS malam tadi (20 Mei 2012.

Borang permohonan menjadi ahli PAS diserahkan beliau kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta timbalannya, Haji Mohamad Sabu dalam majlis pengisytiharan perdana malam tadi.

(Datuk Fauzi menyerahkan borang permohonan menjadi ahli PAS kepada Presiden PAS - gambar Sinarharian.)
Ia diadakan di Taman Kota Wira, Ulu Sepetang, Larut dekat sini.

Turut serta di majlis itu adalah Ketua Penerangan yang juga Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan Pesuruhjaya PAS Perak, Abu Bakar Hussain.

Penyerahan borang keahlian disaksikan kira-kira 5,000 penyokong Pakatan Rakyat (PR).

Bukan mahu jadi calon

Dalam ucapannya, Fauzi menjelaskan bahawa tujuan menyertai PAS bukan berniat untuk menjadi calon atau mempunyai kepentingan tertentu, tetapi sekadar mahu membantu usaha ke arah kerja-kerja Islam yang dibawa PAS.

Katanya, kehadiran beliau pada majlis itu juga sebagai pengenalan kepada penyokong dan masyarakat sebelum bergiat aktif selepas ini.

Beliau turut menjelaskan, penyertaan dalam PAS itu dibuat selepas yakin dirinya tidak terlibat dalam sebarang kes jenayah semasa berada dalam pasukan polis.

Semasa menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Tindakan beliau pernah dikecam oleh seorang menteri yang menyifatkan tindakan Fauzi akan menghalau pelancong dari negara ini.

Dalam ceramah itu, Fauzi yang berasal dari Pantai Besar, Batu Kurau, Perak menambah, beliau selepas ini akan membantu PR khususnya PAS melalui ceramah-ceramah yang dianjurkan.


Sumber: Harakahdaily

Semua perlu hadir 1 Jun - Mursyidul Am

KOTA BHARU: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyeru masyarakat pelbagai bangsa yang beragama Islam supaya hadir pada majlis himpunan besar-besaran pada 1 Jun ini di Kedah.

Katanya, majlis perhimpuan besar-besaran dan penuh bermakna khususnya yang inginkan keadilan perlu hadir pada majlis yang akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah.

“Semua bangsa, sama ada Melayu Muslim, Cina Muslim, India Muslim pergi ke majlis perhimpunan itu nanti beramai-ramai,”ujarnya.

Menurutnya, program berkenaan penuh erti kerana ianya akan diisikan dengan majlis munajat, mubahalah dan lain-lain lagi untuk diluahkan hasrat kepada Yang Maha Esa.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas majlis perasmian aktiviti memanah sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik), ketik diminta mengulas berhubung program itu.

“Kita boleh mengadu pada Allah berhubung kita sering diperlakukan sedemikian rupa oleh pihak tertentu dengan kezaliman walaupun usaha untuk memperjuangkan Islam,”ujarnya.

Sambungnya lagi, memerangi perbuatan mungkar adalah suatu perkara wajib tidak kira melalui Bersih atau apa cara sekalipun.

Bersih hanya satu daripada cara bahawa rakyat tidak bersetuju dengan pengundi hantu, kekotoran daftar pengundi dan berbagai lagi.

“Nak perjuangkan melalui Bersih itu terpulanglah, tetapi wajib menentang kezaliman, kemungkaran dan berbagai lagi,”ujarnya.

Menurutnya, itu semua bukan kerja parti sahaja, sebaliknya ajaran agama.


Sumber: Harakahdaily